Wednesday, November 5, 2008

Rumah Ijabah Anak Yatim dan Al-Hafiz, Subang Jaya

PENGHUNI Rumah Ijabah Anak Yatim dan Al-Hafiz, Subang Jaya, Selangor bertuah kerana selain menjadi tempat perlindungan, mereka mendapat pendidikan dan pembelajaran sepenuhnya.

Sejak ditubuhkan pada 2006, bilangan penghuni bertambah daripada lima kepada 50 orang, membabitkan kanak-kanak dari usia tujuh hingga 16 tahun.


Berikutan itu, Yayasan Al-Ijabah menyewa tiga unit rumah di Jalan USJ 4/9D, Subang Jaya, Selangor bagi menempatkan penghuni terbabit.

Pemegang Amanahnya, Muhamad Abdullah, berkata yayasan itu membelanjakan RM 25,000 sebulan bagi menampung segala keperluan.

"Bermula dengan sewa rumah, perbelanjaan makan minum, yuran sekolah (akademi dan agama) penggajian guru tahfiz dan warden, pembayaran bas sekolah, aktiviti hujung minggu dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, peningkatan perbelanjaan itu menyebabkan pihaknya terpaksa bergantung kepada sumbangan masyarakat.

"Jika ada pihak lain yang ingin memberikan sumbangan, mereka boleh menderma melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip jumlah sumbangan seperti 10 dan hantar ke 32728.

"Sumbangan juga boleh diberikan atas nama Yayasan al-Ijabah menerusi akaun CIMB- 1451 0000 63107 atau Bank Muamalat 14010 0056 74714 dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 019-3064814/03-58801886," katanya.

Di rumah anak yatim itu, setiap penghuni dididik dengan pendidikan akhlak, menghafal al-Quran dan akademik.

"Kami bukan sekadar membimbing mereka menjadi seorang ustaz, guru agama atau hafiz, malah arkitek dan usahawan.

"Kami menggabungkan sistem pendidikan nasional dan al-Azhar dalam proses pendidikan pelajar di sini," katanya.

Penghuni rumah anak yatim itu turut mendapat pendedahan dalam aktiviti kemasyarakatan dan rekreasi, seperti program agama, ceramah, bola sepak, silat, renang dan memanah.

"Kami memberi penekanan solat berjemaah, membaca Yasin, kelas agama dan hadis," katanya.

Sementara itu, pengasas yayasan terbabit, Mohd Nor Azizi Awalludin, berkata pihaknya komited menjaga anak yatim dari seluruh negara termasuk anak orang miskin dan muallaf.

"Kami merancang mengambil lebih ramai anak yatim termasuk menubuhkan kompleks yayasan lengkap dengan kemudahan seperti surau dan asrama.

"Kompleks ini boleh memuatkan 500 orang, cuma kami sedang mencari dana pembinaannya bernilai RM500,000 di Puchong.

"Kami sudah membayar 20 peratus daripada kos pembinaan itu," katanya.